AKRA

PENGELUARAN AKAUN 2 KWSP UNTUK BINA RUMAH

By: AKRA MALAYSIA

Adakah tuan puan tahu bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran Akaun 2 dibuat untuk tujuan membina rumah? Ya, perkara ini telah diluluskan sejak lama dahulu namun sayangnya masih ramai yang belum tahu. Hari ini, saya akan berkongsi tentang syarat pengeluaran Akaun 2 bagi tujuan tersebut. Baiklah, mari kita fahami syarat-syarat tersebut.

1. Kewarganegaraan

Permohonan pengeluaran Akaun 2 KWSP bagi tujuan membina rumah adalah tidak terhad kepada jenis kewarganegaraan. Ini bermaksud warganegara Malaysia dan Bukan Warganegara berhak membuat pemohonan ini selagi pemohon merupakan ahli KWSP.

2. Umur

Pengeluaran bina rumah adalah terhad kepada ahli KWSP yang berumur 55 tahun kebawah. Ini kerana setelah berumur 55 tahun tuan puan boleh mengeluarkan kesemua amaun KWSP tuan puan! Pihak KWSP mengambil kira umur berdasarkan tarikh lahir pemohon.

3. Minimum Baki Akaun 2

Mengikut syarat yang ditetapkan oleh KWSP, untuk melayakkan permohonan ini dibuat ahli perlu ada baki dalam Akaun 2 sekurang-kurangnya sebanyak RM500. Eh mengapa pula? Bukankah ini duit kita juga? Betul tu. Tetapi tuan puan perlu memastikan akaun KWSP aktif bagi menjamin tuan puan agar tetap mendapat manfaat dari KWSP seperti dividen, khairat kematian, bantuan hilang upaya dan sebagainya. Haa rugi kan jika kita biarkan akaun kita kosong begitu sahaja setelah lama mencarum?

Contoh Perjanjian Bina Rumah & Perjanjian Jual Beli Tanah

4. Ada Tanah Sendiri

Tuan puan, logiknya jika hendak membina rumah pastilah kita perlu sediakan tapaknya. Oleh itu, sebelum membuat permohonan pengeluaran bina rumah pihak KWSP akan membuat semakan samada tuan puan atau pasangan/ahli keluarga terdekat (jika memohon pengeluaran bersama) mempunyai tanah yang sah di sisi undang-undang untuk membina rumah. Selain itu, tuan puan hendaklah memastikan Perjanjian Jual Beli Tanah adalah dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh Perjanjian Bina Rumah.

Surat Tawaran Pinjaman dari Bank

5. Kelulusan Pinjaman Bank

Bagi ahli yang ingin membina rumah secara pinjaman bank perlulah menunjukkan surat tawaran pinjaman dari bank yang diiktiraf oleh KWSP. Jika memilih untuk membayar kos pembinaan secara tunai, maka tuan puan mesti menunjukkan bukti bayaran sekurang-kurangnya 20% dari jumlah kos pembinaan.

6. Permohonan Kali Pertama

Setakat hari ini, pihak KWSP hanya membenarkan permohonan pengeluaran membina rumah sebanyak maksimum 2 kali. Namun begitu, jika ini adalah permohonan kali kedua tuan puan bersama KWSP tuan puan perlu membuktikan bahawa hartanah dalam permohonan pertama telah dilupuskan. Haa lupus bagaimana tu??? Tuan puan, lupus di dalam konteks ini adalah bermaksud menjual hartanah tersebut dengan cara dan harga yang sah di sisi undang-undang.

7. Surat Perjanjian Membina Rumah

Tuan puan, merujuk contoh perjanjian dalam syarat keempat tadi kita boleh fahami bahawa setiap perjanjian ada tempoh kuat kuasanya. Bagi Perjanjian Membina Rumah pula tempoh efektif adalah selama 3 tahun dari tarikh permohonan diterima. Contohnya tuan puan mula membuat permohonan pada 15/6/2022. Maka perjanjian ini boleh diguna pakai sehingga 14/6/2025.

Baiklah tuan puan kita sudah pun mengupas syarat-syarat am pengeluaran membina rumah. Sebagai info tambahan, ingin saya maklumkan bahawa pengeluaran ini mempunyai dua kategori. Pertama ialah pengeluaran individu dibuat oleh pemilik akaun KWSP sendiri. Kedua ialah pengeluaran bersama yang dibuat bersama pasangan/ahli keluarga terdekat (ex: ibu bapa/adik beradik). Untuk lebih mudah faham, tuan puan boleh merujuk infografik dibawah.

Semoga perkongsian ini membawa manfaat. Sila like, share dan comment di platform pilihan anda!

Facebook
Twitter
LinkedIn